GUA MUSANG, 6 April- Jumlah kenderaan bertali arus memasuki pintu masuk daerah Gua Musang sejak semalam berikutan kepulangan orang ramai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama ahli keluarga di Kelantan.
Tinjauan di Gua Musang mendapati, jumlah kenderaan semakin bertambah sejak malam tadi, namun keadaan trafik masih lancar dan dijangka keadaan itu berterusan menjelang malam raya.
Menurut pengguna Mohd Ariffuddin Mohamad Zaidi, dia merancang untuk pulang ke kampung halaman setiap kali musim perayaan.
"Kalau nak kata berbaloi, tengok keadaan juga. Tetapi lebih baik merancang. Memang kebiasaan kita akan memulakan perjalanan sebelum subuh.
"Kita juga akan menggunakan aplikasi lain untuk menyemak laluan lain untuk mengelak kesesakan utama," katanya kepada pemberita.
Bagi Ahmad Aiman Aliff Ahmad Bazlan, dia memilih untuk memulakan perjalanan pada awal pagi.
"Bertolak semalam pukul 2.30 pagi, sahur di Merapoh sebab berlaku kesesakan. Sebelum nak masuk ke Gua Musang juga ada kesesakan. Kalau nak merancang lebih baik malam, sebab pada waktu siang masih banyak kenderaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata, sejak semalam jalan Gua Musang seperti Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Jeli sudah mengalami pertambahan kenderaan apabila perantau mula bergerak pulang ke kampung halaman.