fb fb fb fb fb

Kenderaan ikonik dinaiki Tunku Abdul Rahman sertai perarakan di Melaka esok

Kereta M 4442 yang digunakan Tunku Abdul Rahman (tengah) pada 20 Februari 1956.

BANDA HILIR, 19 Februari- Perarakan mengimbau sejarah dan Malam Aneka Warna antara tarikan menarik menanti pengunjung di Melaka sempena cuti umum bagi memperingati Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, esok.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, lebih istimewa pembacaan Watikah Kemerdekaan akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengunjung juga akan dapat menyaksikan perarakan kereta M 4442 yang digunakan Tunku Abdul Rahman pada 20 Februari 1956.
 
Selain itu, turut dipersembahkan perarakan motosikal klasik, basikal klasik dan pasukan polis beruniform klasik.
 
"Untuk bersama-sama kita meraikan Hari Pengisytiharan Kemerdekaan yang ke-68 tahun, di mana kita akan melaksanakan pada 20 Februari 2024, bermula esok pagi hingga ke malam.

"Bermacam-macam program dan acara telah kita susun atur sempena ulang tahun Hari Pengisytiharan Kemerdekaan yang ke-68 tahun ini.

"(Jadi) jangan lepaskan peluang ini untuk bersama-sama dgn Kerajaan Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, pengunjung juga digalakkan untuk berbusana klasik dengan memakai baju Melayu bersampin kain pelikat bagi lelaki dan baju kurung berselempang kain batik bagi wanita pada malam esok.

SITI AISHAH BINTI MD ISA