KUALA LUMPUR, 3 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini tidak akan membebankan pemain industri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.
"Mengenai isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik bukan 14 peratus.
"Seperti yang anda tahu, kajian semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Jadi, saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang terlalu membebankan atau merugikan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara.
Dalam pada itu beliau juga menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif dijadualkan bagi tempoh tersebut.
Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah.
Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan Suruhanjaya Tenaga bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.
Selain tarif asas, terdapat mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.
ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.
Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai, 2025.