fb fb fb fb fb

Kenaikan gaji penjawat awam: 'Kami akan beri timbal balas terbaik' - Presiden Cuepacs

Adnan Mat

PUTRAJAYA, 15 Ogos- Penjawat awam perlu mengambil peluang untuk terus memperkasakan perkhidmatan kerajaan selari kenaikan gaji penjawat awam yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri esok.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, keprihatinan itu dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan dalam mengimbangi pendapatan dan kos sara hidup melibatkan lebih 1.5 juta penjawat awam di negara ini.

Ke arah itu beliau mewakili penjawat awam menyatakan komitmen tinggi untuk terus kekal memberikan perkhidmatan cemerlang, serta timbal balas terbaik kepada kerajaan selaku majikan golongan tersebut.

"Kami lahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di bawah Kerajaan Malaysia MADANI.

"Kami mahu sampaikan kepada kerajaan selaku majikan kami... juga kepada rakyat selaku pihak yang menerima perkhidmatan kami... untuk memberi aku janji bahawasanya kami akan terus kekal memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara, sebagaimana yang telah kami lakukan sebelum ini," katanya.

Adnan yakin pengumuman penting yang bakal diumumkan esok pada perhimpunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 itu akan memperincikan kadar kenaikan gaji penjawat awam.

"Kami yakin akan ada pembahagian-pembahagian (kenaikan gaji), sebahagian mungkin 15 peratus, sebahagian yang lain antara 15 peratus hingga 42.7 peratus ataupun lebih daripada itu.

"Percayalah (dengan) kenaikan gaji ini, kami tetap memberi komitmen yang tinggi, usah rasa ragu-ragu, dan kepada kerajaan kami akan beri timbal balas yang terbaik sebagaimana yang diumumkan mengenai kenaikan gaji kami," tambahnya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar di sini, semalam.

Adnan berkata, pertemuan berkenaan menyentuh perbincangan beberapa perkara termasuk komitmen penjawat awam, selain menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kesemua agenda serta hala tuju kerajaan membangunkan negara.

SITI AISHAH MD ISA