fb fb fb fb fb

Kenaikan gaji: Keutamaan kepada penjawat awam peringkat lebih rendah

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Kenaikan kadar gaji baharu penjawat awam akan memberi keutamaan kepada peringkat lebih rendah iaitu kumpulan sokongan berbanding kumpulan pengurusan tertinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berbeza dengan pendekatan setara yang diperkenalkan sebelum ini.

"Saya tidak umumkan perincian kerana perincian itu sebenarnya telah ditelaah oleh ahli-ahli jemaah menteri.

"Penting untuk kita faham bahawa kenaikan 15 peratus itu bukan elaun,.. gaji pokok. Bagi golongan yang rendah, itu mungkin mencecah sehingga 25, 30 peratus, berbeza pendekatan lama yang memberi keutamaan kepada kelompok tertinggi, kita rubah.

"Saya tumpukan kenaikan bagi peringkat yang lebih rendah dan mengurangkan kenaikan bagi peringkat yang tertinggi", katanya dalam Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV 1.

Sementara itu, satu kaedah penilaian prestasi yang lebih telus dan setara akan diperkenal bagi memperkasa sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Datuk Seri Anwar berkata pelaksanaannya memastikan penjawat awam terus mengekalkan prestasi cemerlang serta produktiviti pada tahap yang optimum.

"Saya telah tegaskan bahawa kenaikan ini harus selari dengan pemerkasaan dan pengurusan yang meliputi semua aspek termasuk penilaian prestasi dan sebagainya.

"Cuma ada kebimbangan kerana prestasi itu juga ada kelemahan. Dia lihat pada kecenderungan ketua jabatan memilih orang-orang yang dia senangi.

"Harus ada satu kaedah yang lebih telus, tetapi kalau orang itu umpamanya tidak hadir tiap bulan ada empat hingga lima hari tidak hadir dengan alasan yang paling remeh. Orang-orang itu patut tidak mendapat faedah dan ganjaran yang setimpal.

"Harus lihat umpamanya perubahan dan reform penjawat awam ini dari sudut kaedah yang juga dilaksanakan di sebahagian sektor swasta. Lebih telus, lebih menekankan akauntabiliti atau kebertanggungjawaban. Lebih melihat kepada prestasi dan produktiviti", katanya.

ROSLINA BINTI DIN