fb fb fb fb fb

Kempen 'Year End Zakat', PPZ-MAIWP sasar kutipan RM1 bilion

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 November- Pusat Agihan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persektuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan RM1 bilion bagi kempen 'Year End Zakat'.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, dengan tema "Makna Kaya Sebenar" kempen itu sebagai seruan kepada masyarakat untuk menunaikan zakat sebelum 31 Disember tahun ini.

"Baru-baru ini, MAIWP juga telah menaikkan sebanyak RM300 kepada 3,200 keluarga, ini bermakna kosnya mencecah lebih kurang RM108 juta setahun. Tambahan bantuan-bantuan diperolehi sebelum ini.

Inilah sebabnya PPZ mengadakan kempen supaya masyarakat semua sedar bahawa setiap rezeki yang Allah amanahkan, Allah berikan kepada kita ini ada hak orang lain yang kita perlu segera bayar. Saya sarankan untuk membuat pembayaran sebelum 31 Disember 2023," kata Abdul Hakim kepada pemberita di ibu negara, hari ini.

Tema tersebut dipilih bagi menunjukkan bahawa kekayaan bukanlah harta yang dimiliki seseorang, tetapi nilai atau kesediaan untuk memberi dan berkongsi dengan orang lain.

Menerusi kempen tersebut, orang ramai yang membayar zakat akan terus mendapat khairat kematian secara automatik.

Sementara itu, penerima bantuan bulanan MAIWP pada tahun ini juga telah meningkat sehingga 3,200 keluarga dan berkemungkinan meningkat sehingga 3,700 penerima.

Justeru, orang ramai diseru agar menunaikan kewajipan mereka selain dapat membantu mereka mendapatkan rebat cukai pendapatan bagi tahun ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM