KUALA LUMPUR 6 Mac- Kempen Cakap Baik-Baik dilaksanakan Kementerian Perpaduan adalah satu usaha berterusan kerajaan dalam memupuk budaya komunikasi positif selain memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kempen itu menggalakkan setiap individu untuk berkomunikasi dengan penuh rasa hormat dan berbudi bahasa.
Selain itu, mengelakkan kata-kata negatif, hinaan atau provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan sosial.
“Marilah sama-sama kita menerapkan amalan budi bahasa dan komunikasi, ucapan, pertuturan, panggilan, pergaulan dan perlakuan sama ada dalam masyarakat, keluarga dan juga di peringkat tempat kerja.
Semoga usaha untuk memupuk amalan budaya yang baik sebagai budaya masyarakat kita dimartabatkan seterusnya mengangkat konsep Malaysia Madani yang tinggi budaya," kata Datuk Aaron di laman Facebook rasminya, hari ini.
Jelasnya, semua rakyat bertanggungjawab memastikan situasi negara terus berkembang menerusi semangat persaudaraan yang utuh dan kuat.
Kempen Cakap Baik-baik menyasarkan rakyat Malaysia pelbagai latar belakang sekali gus melibatkan semua pihak termasuk media, pemimpin komuniti serta individu.