PUTRAJAYA, 13 Julai - Usaha mengekalkan imej Putrajaya sebagai bandar raya yang bersih dan mesra pengunjung terus diperkukuh menerusi pelaksanaan kempen Putrajaya Bersih Setiap Tempat, "Best@WP Putrajaya" kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Kempen tersebut bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek kebersihan, malah turut menanam semangat kolektif dalam kalangan komuniti setempat, khususnya di kawasan komersial, agar terus menjaga persekitaran yang selesa dan kondusif.
Ia selaras dengan pelan hala tuju Chase City yang digerakkan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata pihaknya mengutamakan elemen kebersihan khususnya di premis makanan, termasuk memberi penerangan terus kepada pemilik premis mengenai amalan pembersihan menyeluruh dalam penyediaan makanan dan pengendalian bahan mentah.
Menurut beliau, antara fokus utama lain ialah sistem perparitan yang perlu sentiasa dipantau serta usaha mencegah kehadiran tikus di kawasan komersial.
“Sistem perparitan perlu sentiasa dikawal rapi. Kita juga mahu pastikan tiada tikus di kawasan ini. Perbadanan akan bekerjasama dengan badan pengurusan pusat komersial untuk melaksanakan langkah berterusan bagi memastikan kawasan ini terus bersih,” ujarnya.
Tambah Datuk Fadlun, kempen Best@WP Putrajaya akan diperluas ke kawasan komersial lain di seluruh Putrajaya, bagi memastikan imej pusat pentadbiran negara kekal sebagai antara kawasan paling bersih di negara ini.
Datuk Fadlun berkata demikian selepas menyantuni komuniti setempat di Pusat Komersial Presint 9, sempena Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes dan Kempen Best@WP Putrajaya, yang diadakan hari ini.
Program kali ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk pemilik premis perniagaan, warga Sekolah Kebangsaan Presint 9(2) serta pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).