SUBANG, 15 Mac- Sebanyak RM69 juta diperuntukkan Kementerian Pertahanan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM400 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Daripada RM69 juta untuk TUDM, RM7 juta kita akan gunakan untuk menyelenggara di TUDM Subang ini. Jadi, kita beri perhatian yang serius kepada soal ini kerana kita percaya ia boleh membantu soal kesejahteraan kehidupan anggota-anggota. Itu sangat penting bagi kita.
"RM7 juta itu melibatkan 65 rumah dan maknanya ada baki 120 lagi dan kita akan pastikan setiap tahun sehingga selesai, di samping melihat soal pembinaan baharu yang tidak termasuk dalam bajet RM400 juta tahun ini," katanya kepada pemberita di sini.
Jelasnya, kerajaan akan terus komited dalam memastikan kediaman anggota tentera dinaik taraf dan diselenggara dengan baik.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya turut memperuntukkan sejumlah RM1.13 bilion kepada TUDM bagi tujuan pembekalan serta menaik taraf aset dan kelengkapan udara negara.
Jumlah itu tidak termasuk program perolehan 12 buah helikopter baharu TUDM yang telah diluluskan tahun ini.
"Saya difahamkan ada pembelian kapal terbang baharu dan sebagainya. Dan RM1.13 bilion itu tidak termasuk kelulusan yang telah diberikan kerajaan tahun ini sebanyak RM2.8 bilion untuk memperoleh 12 helikopter yang baharu," kata Mohamed Khaled.
Jelasnya, dengan perolehan aset tersebut, ia dapat memperkasa perkhidmatan TUDM dalam memelihara kedaulatan negara.