KUALA LUMPUR, 7 November - Kementerian Pengangkutan akan memeriksa semula piawaian keselamatan penggunaan soket di dalam bas susulan kejadian seorang remaja maut terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya
Menurut Menterinya, Anthony Loke, satu pasukan petugas khas telah diwujudkan bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.
"Wakil Suruhanjaya Tenaga (ST), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), Standard & Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah melakukan pemeriksaan awal ke atas syarikat pembuat bas terlibat (coach builder).
"Laporan lengkap mengenai punca insiden akan disediakan oleh pasukan petugas khas setelah siasatan menyeluruh siap sepenuhnya," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok) mengenai punca sebenar kejadian seorang
remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah bas ekspres di Terminal Bas Penang yang berlaku baru-baru ini.
Pihaknya melalui APAD telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab kepada pengendali bas ekspres yang terlibat pada 4 November lalu.
Tambah beliau, tempoh 14 hari telah diberikan kepada pasukas petugas khas bagi menyediakan laporan tersebut dan punca sebenar kejadian itu akan diketahui selepas menerima laporan lengkap yang diserahkan kepada kementeriannya.