
NILAI, 28 Februari – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat meneruskan pelaksanaan program Dapur Siswa serta bank makanan di institusi pengajian tinggi pada masa hadapan sebagai antara inisiatif utama bagi memperkukuh kebajikan pelajar, khususnya golongan kurang berkemampuan.
- KPT akan meneruskan program Dapur Siswa dan bank makanan di IPT untuk memperkukuh kebajikan pelajar, terutamanya yang kurang berkemampuan.
- Pelaksanaan program disesuaikan mengikut pendekatan dan keperluan setiap institusi bagi memastikan matlamat kebajikan tercapai.
- Sokongan korporat dan bantuan seperti tiket pulang membantu meringankan beban pelajar serta menyokong pembangunan mahasiswa.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, pelaksanaan program itu akan disesuaikan mengikut pendekatan dan keperluan setiap institusi namun matlamatnya kekal untuk memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan kementerian.
“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan para siswa-siswi kita yang sedang belajar sama ada di universiti mahu pun di politeknik sentiasa dapat dilihat, ditangani dengan sebaik-baiknya kerana kita faham keadaan siswa-siswi kerana sebahagian kita juga adalah daripada latar belakang keluarga yang susah ketika mana kita tengah belajar dahulu, lantaran itu lah saya bersama Perdana Menteri dan bersama seluruh Kerajaan MADANI mengambil langkah-langkah ini bagi memastikan isu-isu kebajikan pelajar dapat kita selesaikan,”
Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas Kembara Ramadan dan Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.
Pada majlis sama, seramai 100 pelajar asnaf USIM menerima bantuan tiket pulang ke kampung sempena Aidilfitri sekali gus membantu meringankan beban kewangan serta memastikan mereka dapat menyambut perayaan bersama keluarga.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat dan dana berjumlah RM 117,000 daripada rakan strategik korporat sebagai sokongan berterusan terhadap pembangunan serta kebajikan mahasiswa.