KUALA LUMPUR, 18 November- Kementerian Digital dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang merangka dasar baharu untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna pendigitalan dalam perniagaan mereka.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata perbincangan bersama KUSKOP dan pihak berkepentingan telah diadakan dua minggu lalu.
"Kami sedang berbincang untuk memperkenalkan inisiatif berkaitan dua perkara utama, pertama, memastikan PMKS dapat menggunakan teknologi.
"Kedua, mewujudkan suasana lebih kos efektif untuk mereka menerima teknologi tersebut," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau ke atas Tenaga Kerja Malaysia di sini.
Beliau menambah bahawa keputusan hasil perbincangan tersebut dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.