(Fahmi berkata lokasi program dilihat cukup kondusif dari pelbagai segi selain lokasi)
KUALA KUBU BHARU, 29 Julai- Penganjuran Kembara RIUH 2023 edisi Selangor yang buat julung kali diadakan di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu menyediakan platform terbaik kepada lebih 100 artis dan usahawan kreatif tempatan mendekatkan seni dengan masyarakat,
Dengan sasaran 20,000 pengunjung, program anjuran Kumpulan MyCreative Ventures bersama Kementerian Komunikasi dan Digital itu menampilkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan.
Menurut menterinya, Fahmi Fadzil lokasi program dilihat cukup kondusif dari pelbagai segi selain lokasi.
Kemudahan dan pelbagai program jualan di reruai yang disediakan pelbagai agensi dan usahawan juga menarik minat pengunjung, di samping tawaran harga berpatutan.
"Lokasinya memang unik dan adalah salah satu tarikan kita membantu mempromosikan juga pelancongan tempatan ataupun bagi peluang kepada pengunjung untuk menikmati suasana di luar bandar," kata Fahmi.
(Kembara RIUH 2023 unik)
Pelbagai aktiviti akan diadakan, seperti persembahan muzik, bengkel kreatif dengan elemen mesra alam dan kelestarian, program kesenian, himpunan permotoran, vendor barangan dan makanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Zainariah Johari berkata konsep Kembara RIUH dapat membuka peluang kepada penglibatan lebih ramai penggiat seni dan industri kreatif sekali gus melebarkan sayap jenama RIUH dengan menawarkan platform yang inklusif.
"Dari segi penambahbaikan untuk RIUH di Pulau Pinang, kita akan bekerja lebih rapat dengan majlis perbandaran dan mereka akan turut sama menguar-uarkan dan juga tadi ketua-ketua bawah agensi komunikasi dan digital semua sangat-sangat menyokong. Seni ini kita kena hadirkan diri, bila hadirkan diri kita dapat rasa dan dengan sendiri kita hendak membantu dan dapat tengok kesan mereka jauh daripada hiburan semata-mata," kata Zainariah kepada media di sini.
Kembara RIUH 2023 edisi Pulau Pinang akan diadakan di Juru City, Seberang Jaya pada 4 hingga 5 Ogos menyasarkan 15,000 pengunjung dengan menampilkan penyanyi Ella, Anuar Zain dan Bunkface.