fb fb fb fb fb

Kembara Kasih KPWKM edisi Sarawak menelusuri 1,456 km mulai hari ini

Kembara Kasih KPWKM edisi Sarawak dengan menyediakan sebanyak 27 program/Foto Facebook Nancy Shukri

KUCHING, 15 September – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memulakan Kembara KPWKM 2024 edisi Sarawak hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri akan mengetuai Kembara Kasih dengan sejauh 1,456 kilometer (km), melalui beberapa daerah utama seperti Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri dan Limbang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak 27 program telah dirancang untuk mendekati masyarakat di negeri itu bagi memperkenalkan pelbagai perkhidmatan kementerian.

"Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas bantuan dalam membangunkan Pan Borneo Highway, yang memudahkan kita untuk bertemu masyarakat di seluruh bahagian dan daerah," katanya selepas merasmikan kembara tersebut di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Siri jelajah Kembara Kasih KPWKM buat julung kalinya itu akan berakhir di Lawas pada 22 September ini.

Antara program utama yang akan diadakan sepanjang kembara ini termasuk Komuniti Santuni MADANI, Advokasi Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak, dan Wanita Dinamik KPWKM.

Program Ziarah KASIH pula akan melibatkan kunjungan ke enam masjid, yang mana sumbangan akan disalurkan kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan Kembara KPWKM sebagai satu peluang buat kementeriannya untuk menyampaikan maklumat penting kepada masyarakat luar bandar mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh tujuh agensi di bawah KPWKM.

"Kami akan pergi ke kawasan luar bandar yang sukar untuk mengetahui dan menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian.

"Segala perkhidmatan ini akan dikongsi bersama agar masyarakat Sarawak dapat memanfaatkannya," katanya.

Dalam majlis yang sama, Premier Sarawak turut merasmikan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak yang pertama di Sarawak.

PSSS Bergerak ini berfungsi sebagai pusat rujukan bagi masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan psikososial.

Setakat ini, terdapat lapan PSSS Bergerak di seluruh negara yang melibatkan lima bas dan tiga trak, lengkap dengan bilik kaunseling, ruang intervensi, serta kemudahan pendaftaran klien.

GRACE AISYAH KEDAYAN