
JOHOR BAHRU, 16 Februari – Jelajah Ramadan RTM 2026 memulakan kembaranya hari ini dari Johor Bahru dan menjelajah ke 30 lokasi terpilih seluruh negara.
- Jelajah Ramadan RTM 2026 akan singgah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.
- Edaran siri ke-14 menonjolkan penggunaan media sosial untuk promosi dan liputan aktiviti.
- Kerjasama dengan TikTok dan penyiar RTM akan menyebarkan kandungan melalui akaun juruhebah dan stesen.
- Seramai 40 kru termasuk penyampai dari 34 stesen radio serta selebriti jemputan terlibat selama 20 hari.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siri jelajah yang bermula sejak 2012 itu adalah peluang kepada orang ramai untuk mengenali RTM dengan lebih dekat.
Jelajah kali ke-14 ini juga memperkenalkan konsep berlainan dengan penggunaan media sosial bagi mempromosi setiap aktiviti di semua lokasi persinggahan.
“Kita juga ada kerjasama dengan TikTok. Sudah pasti apa yang diusahakan dalam Program Jelajah Ramadan RTM 2026 ini akan dapat disiarkan melalui akaun-akaun media sosial para juruhebah, para penyiar dan stesen-stesen radio.
“Jadi kelainanya kali ini mempunyai elemen media sosial”, katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Johor Bahru.
Seramai 40 kru termasuk penyampai 34 stesen radio dan selebriti jemputan terlibat di dalam siri jelajah selama 20 hari bermula hari ini hingga 8 Mac 2026.
Penaja utama Jelajah Ramadan RTM kali ini adalah Baba’s dan rakan penaja lain seperti Petron, Hotel Seri Malaysia, Himalaya dan Raja Perfume.