fb fb fb fb fb

Kematian pelajar kadet Palapes, 34 individu rakam keterangan

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim

SHAH ALAM, 2 Disember- Rakaman keterangan ke atas 34 individu telah dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim berkata, antara individu yang diambil keterangan ialah pegawai perubatan, pegawai jurulatih, pelajar dan pengadu.

"Sekarang ini kita menganggarkan 34 keterangan telah diambil antaranya pegawai perubatan, pegawai jurulatih, pelajar-pelajar yang terlibat dan pengadu.

"Kita juga akan memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Seterusnya merujuk kertas siasatan kepada koroner untuk arahan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Turut hadir, Hakim Penyelia Jenayah Mahkamah Selangor, Hakim Rasyihah Ghazali serta Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Dalam pada itu beliau juga mahu orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, mensensasikan atau memanipulasikan kes tersebut.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI