Kematian akibat pemandu mabuk: Pelan DUI perlu segera dilaksana

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Tragedi kematian seorang bapa dipercayai akibat pemandu mabuk di Klang disifatkan sebagai kegagalan sistemik yang memerlukan tindakan segera, bukan sekadar reaksi emosi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laksanakan Pelan DUI 2026-2035 segera; pelan komprehensif jangka pendek, sederhana dan panjang diperlukan.
  • Turunkan had alkohol ke 50 mg, laksanakan toleransi sifar untuk pemandu baharu dan komersial, gantung lesen segera selepas gagal ujian pernafasan.
  • Tubuhkan Dana Pampasan Mangsa DUI dan komitmen kepada Vision Zero bagi mengurangkan kematian jalan raya secara menyeluruh.

Pendukung Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Mampan, Shahrim Tamrin berkata, pendekatan sedia ada dilihat ketinggalan dan tidak seiring dengan cabaran semasa, termasuk isu perkongsian data antara agensi yang didakwa tidak menyeluruh.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2012 menunjukkan 23 peratus pemandu terlibat nahas maut didapati positif alkohol, berbeza dengan data polis kebelakangan ini yang mencatatkan kurang satu peratus kes melibatkan pemanduan bawah pengaruh (DUI).

“Ketiadaan pelan komprehensif jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan DUI di peringkat Kementerian Pengangkutan serta Majlis Keselamatan Jalan Raya menjadi antara punca kelemahan sistem,” menurut pandangan beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Pelan Keselamatan Jalan Raya DUI 2026–2035 dilaksanakan segera, termasuk menurunkan had alkohol kepada 50 miligram, penguatkuasaan toleransi sifar bagi pemandu baharu dan komersial, serta penggantungan lesen serta-merta bagi pemandu yang gagal ujian pernafasan.

Selain itu, penubuhan Dana Pampasan Mangsa DUI turut dicadangkan bagi membantu keluarga terkesan, di samping usaha jangka panjang ke arah konsep “Vision Zero” bagi mengurangkan kematian jalan raya.