fb fb fb fb fb

Kemasukan pelajar Universiti Awam berdasarkan sistem meritokrasi

Datuk Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan bahawa kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA) menggunakan sistem meritokrasi dengan penilaian 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Beliau turut menyatakan kaedah temu duga mungkin akan digunakan bagi kursus tertentu yang menerima jumlah permohonan tinggi.

"Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang mempunyai markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal akan diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA)," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapha juga menambah bahawa pengambilan pelajar di UA adalah berdasarkan syarat kemasukan yang ditetapkan dan diluluskan oleh Senat Universiti masing-masing.

SITI AISHAH MD ISA