Kemasukan EV import diteliti, hanya benarkan model berkualiti

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan akan meneliti kemasukan kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) ke Malaysia bagi memastikan hanya model berkualiti memasuki pasaran tempatan dan melindungi ekosistem automotif negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemasukan EV CBU akan diteliti untuk memastikan hanya model berkualiti dibenarkan ke pasaran tempatan.
  • Kerajaan mahu elakkan lambakan kenderaan murah yang boleh menjejaskan ekosistem automotif tempatan.
  • Galakan kepada pengeluar untuk laksana pemasangan tempatan dan tingkatkan pengeluaran komponen dalam negara.
  • Matlamat mencapai skala pengeluaran dan eksport lebih tinggi demi membina ekosistem automotif yang mampan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata EV yang diimport perlu memberi nilai tambah kepada industri automotif tempatan, memandangkan pengeluar tempatan mampu memenuhi segmen EV kos rendah.

“EV yang masuk ke negara kita perlu berkualiti.

“Bukan sekadar murah, tetapi perlu melindungi ekosistem industri tempatan bagi mengelak lambakan kenderaan yang boleh menjejaskan pertumbuhan segmen EV tempatan,” katanya selepas melancarkan Proton e.MAS 7 PHEV hari ini.

Beliau turut menegaskan kerajaan mahu melihat lebih banyak pengeluar melaksana model pemasangan tempatan (CKD) dan meningkatkan pengeluaran komponen secara tempatan.

Menurutnya, kemampuan industri bersaing di peringkat antarabangsa memerlukan skala pengeluaran dan eksport yang mencukupi.

Pada masa ini, Malaysia menghasilkan kira-kira 800,000 kenderaan setahun dengan kerajaan menekankan pencapaian lebih sejuta unit diperlukan untuk membina ekosistem automotif yang mampan.

Mengenai pembangunan kenderaan hibrid, Datuk Seri Johari berkata, kerajaan terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pemain industri bagi membangunkan ekosistem automotif secara bersama.