
IPOH, 30 Januari – Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada pengisian guru serta penyediaan bilik darjah bagi memastikan kelancaran operasi sekolah susulan kemasukan serentak dua kohort murid ke Tahun Satu pada tahun hadapan.
- KPM fokus pengisian guru untuk persiapan dua kohort murid Tahun Satu serentak.
- Kadar pengisian guru meningkat daripada 95% kepada lebih 97% merentasi semua jenis sekolah.
- Perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk tambah pengambilan guru dan langkah interim.
- Kenal pasti sekolah padat dan bina bilik darjah menggunakan Sistem Binaan Berindustri dalam 4–5 bulan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, persiapan awal sedang dilaksanakan bagi menghadapi kemasukan murid berusia enam dan tujuh tahun secara serentak.
Beliau memaklumkan, kadar pengisian guru meningkat daripada 95 peratus kepada lebih 97 peratus merentasi semua jenis sekolah di seluruh negara.
Menurutnya, perbincangan turut diadakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi menambah pengambilan guru, termasuk pelaksanaan langkah interim sementara menunggu latihan guru baharu.
“Kementerian Pendidikan telah mengambil pelbagai langkah sejak pengumuman dibuat bagi memastikan sekolah dan guru bersedia sepenuhnya pada tahun hadapan, termasuk untuk menampung kemasukan murid berusia enam dan tujuh tahun ke Tahun Satu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA), di sini.
Selain itu, beliau berkata, sekolah padat yang memerlukan bilik darjah tambahan sedang dikenal pasti oleh kementerian.
Tambahnya, pembinaan bilik darjah berkenaan akan dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan kemudahan tersebut disiapkan dalam tempoh empat hingga lima bulan.