fb fb fb fb fb

KEMAS perluas Program TABIKA Pra Tahfiz, lebih 4,000 kelas akan disedia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KLUANG, 22 September- Program TABIKA Pra Tahfiz di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), akan diperluas kepada 4,145 kelas di negara ini, dengan melibatkan 62,175 kanak-kanak. 

Program tersebut menggunakan modul hafazan Yayasan Pahang yang mendedahkan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara santai dan berhibur sesuai dengan perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata pendidikan al-Quran perlu dijadikan teras utama dalam perkembangan kanak-kanak, terutama sebagai persediaan masuk ke peringkat sekolah rendah.

"Itulah sebabnya kita menanamkan soal keagamaan ini di awal usia. Maka, walaupun Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bukan kementerian agama, tetapi KEMAS adalah sebuah jabatan yang mengambil inisiatif supaya TABIKA KEMAS mengambil tanggungjawab untuk meletakkan kepentingan agama di awal usia anak-anak kita supaya akidahnya tidak lari daripada landasan", katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat KEMAS Negeri Johor di Kluang, Johor.

Menjelang 2026, KEMAS menyasarkan untuk melahirkan huffaz cilik seramai 140,000 orang menerusi modul program tersebut.

ROSLINA BINTI DIN