fb fb fb fb fb

KEMAS Padang Besar semarak patriotisme masyarakat pelbagai kaum

Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Padang Besar, Ruzaini Rais / Foto RTM

PADANG BESAR, 31 Ogos - Pelbagai program dilaksanakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Padang Besar sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi menyemarakkan semangat patriotisme bersama komuniti setempat.

Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, penganjuran program melibatkan pelbagai kaum itu merupakan inisiatif komuniti setempat untuk menghayati erti kemerdekaan serta memperkukuh rasa cinta kepada negara.

Beliau berkata, nilai patriotisme bukan sekadar laungan ‘Merdeka’ atau kibaran Jalur Gemilang semata-mata, sebaliknya yang lebih penting ialah usaha memperkukuhkan perpaduan, menjaga keharmonian kaum dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Setiap kali program bertemakan kemerdekaan dianjurkan, sambutannya sentiasa menggalakkan. Ia menjadi manifestasi semangat patriotisme masyarakat dalam meraikan Hari Kebangsaan.

Malah, setiap program yang dilaksanakan KEMAS mendapat sokongan baik daripada penduduk kampung yang terlibat, dengan penyertaan yang cukup ramai khususnya dalam kalangan murid sekolah,” katanya pada Program Pembangunan Komuniti E-Read Bulan Kemerdekaan Parlimen Padang Besar di Kampung Ngulang Utara, di sini, hari ini.

Program menghimpunkan lebih 300 penduduk setempat berkenaan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang melibatkan pelbagai aktiviti termasuklah pertandingan mewarna kanak-kanak dan dewasa, kenduri rakyat, kibaran Jalur Gemilang dan cabutan bertuah serta sukan rakyat.

Sehingga kini, sebanyak 10 program utama telah diadakan berteraskan tema kemerdekaan termasuk Penghayatan Kemerdekaan, Konvoi Merdeka, Semarak Merdeka Komuniti dan Kayuhan Merdeka.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE