KUALA LUMPUR, 5 Mac- Pengundi yang berpindah alamat dan ingin menukar bahagian pilihan raya disarankan mengemas kini alamat mastautin mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terlebih dahulu.
Jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran, permohonan pertukaran bahagian pilihan raya boleh dibuat melalui beberapa saluran.
"Secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, Ibu Pejabat SPR, Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, Pejabat Pos di seluruh negara dan Program Outreach SPR," kata M. Kula di Parlimen, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa semua permohonan Borang A akan disemak untuk memastikan kelayakan mengundi mengikut Peraturan 12A (1) dan 12A (2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.