PUTRAJAYA, 9 Januari- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) diminta mengemukakan cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan KEMAS kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Cadangan tersebut membabitkan pergerakan gred kakitangan dan memendekkan tempoh perjawatan bagi kakitangan berstatus kontrak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan membantu KEMAS bagi merealisasikannya.
"Apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarah KEMAS, menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjuangkan nasib kepada seluruh warga KEMAS. Insya-Allah, Ketua Setiausaha dan saya akan bantu", katanya berucap merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat MADANI 2025 di Putrajaya.
“Saya meletakkan harapan kepada Ketua Pengarah KEMAS untuk memujuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan supaya apa yang disebutkan oleh beliau tadi (dicapai), jangan tunggu tahun depan, harus dibuktikan tahun ini juga,” katanya.
Tambahnya, KEMAS perlu memperbanyak inisiatif berimpak tinggi, maju dan melangkah ke hadapan.
Justeru, lima cadangan diperkenal bagi memastikan keberkesanan berterusan.
Antaranya, 'Bootcamp Literasi Digital' iaitu kerjasama dengan syarikat teknologi untuk melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran digital, memperluas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan memperkasa ekonomi dan keusahawanan warga desa.
Sementara itu, Tabika berkeperluan khas atau Tabika Autisme perlu dibuka di seluruh negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, Tabika itu akan mula beroperasi di Melaka bermula tahun ini dengan memberi keutamaan kepada anak-anak autistik dari golongan B40 terlebih dahulu.
"Datuk Ketua Setiausaha, carilah peruntukan agar Tabika Autism ini dapat dibuat di seluruh negara. Latihlah guru-guru kita untuk mendapatkan latihan khas, latih perlu dibuat serta latihan yang perlu terus dijalankan, kursus dalam cuti (KDC) perlu dibuat", katanya.