
KOTA BHARU, 30 Mac – 1,085 pesawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dilaporkan terjejas ekoran cuaca panas ketika ini.
- Kawasan terjejas: Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat, keluasan sekitar 3,638 hektar.
- Kerugian melibatkan kira-kira 15% daripada 25,000 hektar tanah penanaman padi seliaan KADA.
- Pam Kemubu 4 banyak membantu pengairan kerana boleh beroperasi pada aras 1.0 meter, lebih rendah berbanding Pam Kemubu 1 dan 2.
- KADA akan terus memantau dan memastikan bantuan disalurkan berkesan bagi menjamin pengeluaran padi dan kebajikan pesawah.
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, kawasan terjejas meliputi Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat melibatkan keluasan tanaman sekitar 3,638 hektar.
“Jumlah ini meliputi kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan 25,000 hektar kawasan penanaman padi seliaan KADA,” katanya pada sidang media di Pejabat KADA, Lundang di sini.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, Pam Kemubu 4 yang mula beroperasi sejak bulan lepas banyak membantu pengairan ke kawasan sawah terutama ketika paras air Sungai Kelantan berada pada tahap rendah.
“Pam Kemubu 4 mampu beroperasi pada paras minimum 1.0 meter berbanding Pam Kemubu 1 dan 2 yang masing-masing memerlukan aras air lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau pada masa sama memberitahu, KADA akan terus memantau situasi berkenaan dan memastikan segala bantuan dapat disalurkan secara berkesan bagi menjamin kelangsungan pengeluaran padi serta kebajikan pesawah.