fb fb fb fb fb

Kemarau di Kelantan, PGA tempatkan anggota secara statik di Sungai Golok

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 10 April- Pasukan Gerakan Am (PGA) menukar strategi sepanjang musim kemarau di Kelantan dengan menempatkan anggota secara statik di kawasan Sungai Golok yang cetek selain rondaan berkala 24 jam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Sheik Azahar Sheik Omar berkata kawalan statik itu ditempatkan di dua pengkalan haram iaitu Ibrahim Pencen dan MCA.

Beliau berkata, pihaknya juga turut menggunakan empat khidmat dron milik Batalion PGA dan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal sempadan melalui udara. 

Sepanjang tempoh kemarau yang mengakibatkan sungai cetek, pihaknya berjaya mengesan cubaan rentas sempadan namun berjaya dipatahkan susulan kawalan yang lebih ketat.

Menurutnya, lebih 300 pegawai dan anggota bertugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand dari Lubok Stol, Pasir Mas ke Pengkalan Kubor, Tumpat menerusi pelaksanaan Ops Taring Wawasan sepanjang Hari Raya kali ini.

"Sehubungan dengan itu kita telah meletakkan anggota yang bertugas di Pos Statik Ibrahim Pencen dan Pos Statik MCA untuk buat pemantauan secara 24 jam dalam masa yang sama juga kita menaik unit dron untuk membuat pemantauan melalui udara."

"Jadi, sehingga hari ini kita lihat masyarakat tidak menyeberangi di kawasan yang saya sebutkan tadi," kata Sheikh Azahar kepada pemberita dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan biskut Raya daripada PDRM dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan kepada petugas di Komtak PGA Jeram Perdah, Pasir Mas, hari ini.

Tambah SAC Sheikh Azahar, untuk tahun ini, pihaknya berjaya menahan seramai 379 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba merentas sempadan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 322 PATI adalah lelaki dan 57 wanita yang terdiri daripada warga negara Thailand, Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Kemboja, China dan India.

Pihaknya juga berjaya menumpaskan sebanyak 431 kes jenayah rentas sempadan melibatkan 373 tangkapan dengan nilai rampasan RM18.5 juta bermula Januari sehingga Mac tahun ini.

Rampasan melibatkan barangan kontraban, dadah dan senjata api.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM