(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)
PUTRAJAYA, 26 Oktober - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan nahas udara helikopter berhampiran Brinchang, Cameron Highlands petang tadi melibatkan Pasukan Doktor Udara (FDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.
Dalam satu kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika kejadian, pasukan tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melakukan lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Menurutnya, notifikasi kejadian diterima Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands pada pukul 1.50 petang dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.
“Mangsa yang terlibat seramai enam orang terdiri daripada seorang pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat kesihatan, pembantu kesihatan awam, seorang jururawat masyarakat dan seorang juruterbang.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat selaku pasukan 'first responder' sampai ke lokasi kejadian dan dalam usaha membawa turun semua mangsa,” kata beliau dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas Khairy, dua pasukan perubatan kecemasan diketuai seorang pakar perubatan kecemasan turut digerakkan ke tempat kejadian dari HoSHKA.
(Kemalangan helikopter melibatkan Pasukan Doktor Udara PKD Kinta)
Semua mangsa dibuat penilaian terlebih dahulu oleh pasukan petugas perubatan di zon rawatan apabila dibawa keluar dari tempat nahas.
Menurut beliau, mangsa yang stabil dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, manakala yang mengalami kecederaan distabilkan terlebih dahulu di HoSHKA sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
“Setakat pukul 7 malam, empat mangsa yang cedera dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan untuk dilakukan penilaian perubatan.Dua daripadanya dirujuk ke HoSHKA untuk pemeriksaan lanjut dan penilaian semula status kesihatan masing-masing manakala dua lagi masih di zon rawatan.
“Sementara itu, dua lagi mangsa sedang dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan. Punca helikopter membuat pendaratan kecemasan masih di dalam siasatan,” kata beliau.
Khairy berkata perkembangan terkini kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Berita berkaitan :
Helikopter mendarat cemas di Brinchang, tiga orang cedera serius