fb fb fb fb fb

Kemalangan di Norway, dua warga Malaysia cedera ringan

Nahas bas di Norway pada 26 Disember 2024/ Reuters

KUALA LUMPUR, 31 Disember- Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm berjaya menghubungi dua warganegara Malaysia terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway, pada 26 Disember lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra kedua-dua individu tersebut mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua individu tersebut mengalami kecederaan ringan, telah dikategorikan sebagai kes "tanpa kecederaan" oleh pihak berkuasa Norway, dan berada dalam keadaan sihat.

"Mereka juga telah meneruskan perjalanan di Norway tanpa sebarang komplikasi lanjut," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini laporan awal memaklumkan terdapat empat individu warganegara Malaysia terlibat dalam kemalangan tersebut disebabkan salah faham, kerana dua lagi warganegara Malaysia kebetulan berada di hotel sama.

"Kedua-dua warganegara ini telah disahkan tidak terlibat dalam insiden berkenaan," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu Wisma Putra bagi pihak Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan di Norway atas tindakan pantas dan bantuan diberikan.

"Sokongan dan tindakan segera mereka amat dihargai.

"Keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan utama Kementerian Luar Negeri," menurut kenyataan itu.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI