
SEMENYIH, 27 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa proses kelulusan projek pembangunan tidak seharusnya dilengah-lengahkan sekiranya semua syarat dan peraturan telah dipenuhi bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan dalam tempoh munasabah.
- Kelulusan projek yang memenuhi syarat tidak patut dilengahkan untuk elak menjejaskan kepentingan rakyat.
- Prosedur mesti dipatuhi tetapi birokrasi melampau perlu dielakkan terutama bagi projek memberi manfaat langsung.
- Projek kecil seperti jalan kampung dan prasarana awam perlu diberi keutamaan dan disiapkan segera.
Beliau berkata kelewatan yang tidak perlu hanya akan menjejaskan kepentingan rakyat serta memperlahankan pembangunan negara.
“Kalau dah setuju semua dan ikut peraturan, percepatkan proses. Kalau boleh lulus dua bulan, lulus dua bulan. Kenapa nak tunggu enam atau lapan bulan?” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar menegaskan prosedur mesti dipatuhi, namun birokrasi yang melampau perlu dielakkan terutama bagi projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurut beliau, projek kecil seperti jalan kampung, prasarana awam dan kemudahan asas juga perlu diberi keutamaan dan disiapkan segera.
“Projek kecil pun bagi saya projek utama. Kalau boleh disiapkan cepat, siapkan segera supaya rakyat rasa nikmat pembangunan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan ketika ini membuktikan Malaysia berada di landasan kukuh untuk terus membangun dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pencapaian ekonomi semasa termasuk pertumbuhan, pelaburan dan perdagangan negara memberikan keyakinan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk melangkah lebih jauh sebagai negara maju di rantau ini.
“Kalau kita lihat angka-angka terkini prestasi ekonomi, kita baik. Pelaburan tertinggi dalam sejarah, perdagangan negara sudah cecah lebih satu trilion ringgit,” tambahnya.
Beliau berkata kekuatan ekonomi negara perlu dimanfaatkan untuk membaiki kelemahan sedia ada, khususnya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan peluang pekerjaan.
Datuk Seri Anwar turut mengingatkan bahawa kejayaan ekonomi tidak datang dengan sendiri, sebaliknya hasil usaha bersama pekerja, peniaga dan semua lapisan masyarakat.
“Ini bukan berlaku sendiri. Ini hasil kerja pekerja, peniaga dan rakyat yang bertungkus-lumus untuk mengangkat ekonomi negara,” jelasnya.