Keluarga rayu kerajaan bawa pulang wanita terkandas 18 tahun di Lombok

FOTO RTM

LENGGONG, 11 Februari – Hidup dalam serba kekurangan dan dibayangi ketakutan akibat ugutan bunuh daripada bekas suami, keluarga merayu kerajaan membantu membawa pulang seorang wanita bersama anaknya yang terkandas hampir 18 tahun di Lombok, Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga merayu kerajaan bantu membawa pulang Norida yang terkandas hampir 18 tahun di Lombok demi keselamatan dan kebajikan.
  • Norida menghadapi kesusahan hidup, kekurangan makanan dan dipercayai mengalami penderaan sebelum bercerai.
  • Bekas suami mengugut mahu membunuh, menyebabkan keluarga risau dan mahu Norida dipulangkan segera.

Norida Akmal Ayob, 45 tahun, berada di negara itu selepas mengikut suaminya pulang ke Lombok sebelum ditinggalkan.

Sepupunya, Mohd Shahnizam Basri berkata, Norida sebelum ini bekerja sebagai guru KAFA di sebuah sekolah di Bukit Sapi, Lenggong sebelum berkahwin dengan lelaki warga Indonesia yang menetap dan bekerja di daerah berkenaan.

Menurutnya, selepas kematian bapa mentua, Norida yang juga anak tunggal mengikut suaminya ke Lombok ketika anak sulungnya berusia tiga tahun.

“Kerana ada Facebooklah kita boleh jumpa balik, kalau tidak memang tak tahu ke mana dia pergi. Sebelum ini terputus hubungan langsung.

“Duit makan pun susah, makan nasi dengan garam sahaja, dia cakap macam itu. Anak-anak dia dua orang, kita pun sedih sebab dia keluarga kita,” katanya.

Keluarga mendakwa kehidupan Norida di sana semakin sukar apabila berdepan masalah kewangan selain dipercayai pernah menjadi mangsa penderaan rumah tangga sebelum bercerai kira-kira setahun lalu.

Ibu saudaranya, Umi Kalsom Ahmad berkata, wanita itu turut menerima ugutan daripada bekas suaminya.

“Bekas suaminya tidak peduli langsung dan pernah cakap kalau dapat jumpa dia mahu bunuh. Itu yang anak saudara makcik ini nak balik.

“Kalau boleh minta tolong bawa balik anak saudara ini. Sayang dari kecil lagi,” ujarnya.

Kini, Norida tinggal bersendirian di sebuah rumah terpencil di tengah bendang, manakala kedua-dua anaknya berada bersama bapa mereka.

Keluarga berharap kerajaan dapat membantu membawa wanita itu pulang ke Malaysia secepat mungkin bagi menjamin keselamatannya.