fb fb fb fb fb

Kelompok 'khawarij' perlu dibendung, boleh jejas sosiomasyarakat, negara

Ahli Jawatankuasa Nadwah Ulama dan Ilmuwan YADIM, Hasri Harun

KUALA LUMPUR, 9 April- Penularan kelompok 'Khawarij' perlu dibendung dengan teliti dan bijaksana agar tidak membentuk masyarakat berfikiran radikal.

Jika dibiarkan, ia dibimbangi boleh menjejaskan pembangunan sosiomasyarakat dan negara malah tidak terkecuali, isu-isu berkaitan keselamatan.

Ahli Jawatankuasa Nadwah Ulama dan Ilmuwan YADIM, Hasri Harun berpendapat, pihak berkuasa harus meneliti serta menangani perkara itu dengan baik, teliti dan bijaksana bagi mengelak berlaku sebarang situasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

"Kalau kita merujuk kepada sejarah, kelompok yang dikatakan sebagai khawarij ini adalah sesuatu yang sangat besar kesannya kepada negara.

"Masyarakat juga harus juga diberikan ilmu dan pengetahuan tentang kesan kepada penularan pemikiran-pemikiran takfiri yang berlaku dalam negara kita. Ini kerana kalau ia tidak dibendung dengan awal, ia akan memberi kesan kepada pemahaman masyarakat, mahupun daripada segi struktur ekonomi, sosio kehidupan yang juga akan terkesan," kata Hasri kepada pemberita RTM dalam satu temu bual khas secara maya, hari ini.

Tambah beliau, masyarakat juga perlu diterapkan dengan pemahaman yang tepat bagi memastikan Malaysia terus dihormati sebagai sebuah negara yang kekal stabil walaupun mempunyai komposisi penduduk berbilang bangsa, budaya dan agama.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM