fb fb fb fb fb

Kelindan maut, pemandu cedera nahas dua lori di PLUS

Kemalangan berlaku ketika kedua-dua lori itu dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

KLUANG, 23 Ogos- Seorang kelindan lori maut, manakala dua pemandu lori cedera dalam kemalangan di kilometer 69, Lebuhraya Utara - Selatan (Arah Utara), semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa, M.Madasamy, 30, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Beliau memaklumkan kemalangan berlaku ketika kedua-dua lori itu dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

"Lori dinaiki mangsa mengalami kerosakan di lorong kiri sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak PLUS. 

"Sebuah lagi lori dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun dan kelindan, 30 tahun, secara tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar kon yang disusun sebelum merempuh belakang lori berkenaan di lorong kiri," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pemandu lori berusia 55 dan 29 tahun mengalami sakit di bahagian dada dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.

Bahrin berkata sementara seorang lagi kelindan berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ZEHRA BINTI ZAMBRI