fb fb fb fb fb

Kelindan lori didakwa cuba bunuh anggota polis

Tertuduh, Mohamad Hafiz Naharoddin, 28 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim

TELUK INTAN, 30 November - Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas pertuduhan melakukan cubaan membunuh seorang anggota polis pada bulan lepas.

Tertuduh, Mohamad Hafiz Naharoddin, 28 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan cubaan bunuh dengan memandu kenderaan secara berbahaya ke atas Koperal Nik Mohd Khairul Izwan Nik Jid sehingga menyebabkan kecederaan kepadanya.

Kesalahan dilakukan di hadapan Masjid Simpang 4 Labu Kubong, Chenderong Balai di Daerah Hilir Perak. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga  20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Saravanan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Oktober lalu, polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai ahli kumpulan samun, yang cuba melarikan diri dengan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan seorang anggota polis diseret.

Polis sebelum itu dilaporkan mengekori suspek dari Ipoh menghala ke Kampung Gajah selepas menerima maklumat kejadian samun bersenjatakan parang dan suspek bertindak memecut kenderaan apabila menyedari diekori, sebelum dapat ditahan berhampiran sebuah masjid di Labu Kubong.

TETITIA YUSOFF