fb fb fb fb fb

Kelewatan penerbangan, syarikat perlu kembalikan bayaran

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 28 Ogos- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyarankan syarikat penerbangan menawarkan kepada pengguna pilihan bayaran balik sepenuhnya dalam cara pembayaran asal sekiranya mengalami kelewatan penerbangan lima jam dan lebih berkuatkuasa 2 September ini.

Beliau berkata, penambahbaikan baharu dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dilaksanakan Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang bakal diwartakan September ini.

Bagaimanapun pembayaran perlu dilunaskan syarikat penerbangan dalam tempoh 30 hari sekiranya pelanggan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan.

"Ini bermaksud kalau ada kelewatan lebih daripada lima jam dan mungkin penumpang itu memilih untuk ambil penerbangan lain atau boleh dapat bayaran balik dalam mod bayaran asal dari syarikat penerbangan.

"Itu adalah satu penambahbaikan yang agak baik untuk pengguna," katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini.

Bagaimanapun menurut Anthony syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik sekiranya mengalami gangguan penerbangan disebabkan faktor-faktor tidak terkawal.

Dalam perkembangan lain beberapa insiden teknikal melibatkan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) baru-baru ini kebanyakannya berpunca daripada masalah komponen mekanikal.

Anthony berkata, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB, MAB Engineering Service (MABES) juga didapati kekurangan tenaga kerja mahir.

"Dari segi penghijrahan pekerja-pekerja ini, dia ada yang pekerja luar negara ada yang pergi dalam negara. Jadi kita tidak menerima maklumat tepat sebab apabila mereka dah meletakkan jawatan dia bebas untuk masuk ke mana-mana.

"...sebab ini adalah hak masing-masing sebagai pekerja. Jadi ini masalah yang dihadapi oleh MAB dan sudah tentu perkara ini akan dipantau supaya mereka dapat merekrut pekerja teknikal dalam kadar segera," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI