KUALA LUMPUR, 20 Februari- Kelas pengajian di kaki lima di Lorong Haji Taib, di ibu negara menjadi tempat anak-anak jalanan yang tercicir pelajaran mendapatkan pendidikan agama dan juga akademik.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, inisiatif itu dilaksakana oleh badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Jejak Jalanan dengan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi memastikan anak-anak itu tidak tercicir pelajaran.
"Tempat itu akan jadi tempat mereka belajar mendapatkan pendidikan. Setakat ini guru-guru yang mengajar difahamkan ada dalam empat orang dan secara sukarela.
"Insya-Allah MAIWP akan tengok bantuan sumbangan yang boleh diberikan kepada guru-guru yang menjadi tenaga pengajar. Dengan adanya sumbangan itu lebih ramai lagi yang akan dapat ilmu dan pendidikan daripada ustaz-ustaz, cikgu-cikgu yang memberi pendidikan tersebut," katanya selepas ke Pusat Transit Geladangan Jejak Jalanan untuk membantu asnaf di Lorong Haji Taib, Chow Kit, di ibu negara.
Menurut Na'im, pendidikan ini penting bagi memastikan anak-anak jalanan ini tidak tercicir didalam pelajaran kerana ada di kalangan mereka yang tidak menerima pendidikan secara sempurna
Program itu akan dilaksanakan sebanyak empat kali seminggu yang merangkumi dua kali kelas pengajian agama dan juga dua kali kelas akademik.
Antara mata pelajaran yang diajar untuk pengajian agama ialah pengajian fardhu ain, akhlak dan fekah.
Manakala bagi pengajian akademik pula akan diajar empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Selain itu, MAIWP juga akan menilai semula jika terdapat bantuan lain yang boleh disalurkan kepada kelas pengajian berkenaan demi memastikan anak-anak itu mendapat pelajaran yang sempurna.