fb fb fb fb fb

Kelantan rekodkan peningkatan kes Ah long tahun 2023

FOTO RTM

KOTA BHARU, 22 Januari - Kelantan merekodkan peningkatan kes membabitkan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen (Ah long) tahun lalu iaitu sebanyak 92 kes dengan nilai kerugian lebih RM113,000 berbanding 48 kes dengan kerugian lebih RM158,000 tahun 2022.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya akan mengambil langkah tegas untuk membanteras selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat kegiatan tersebut.

"Tindakan kita untuk menentukan kegiatan Ah long tidak ada di Kelantan.

"Memang daripda awal, saya fokus kepada kegiatan Ah long kerana ia menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat di sini (Kelantan).

"Sebagai contoh, peniaga yang meminjam daripada mereka dalam jumlah kecil akhirnya terbeban dengan jumlah hutang yang banyak dan menyebabkan pada akhirnya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini", kata Muhammad Zaki pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Rendah Polis Berpangkat Sarjan Mejar atau Sarjan dan penerima surat penghargaan peringkat Kontinjen Kelantan di sini.

Sementara itu, Muhammad Zaki mengesahkan pihaknya telah menyelesaikan enam kes melibatkan simbahan cat dipercayai kegiatan Ah long di Kota Bharu dan Tumpat Minggu lalu.

Muhammad Zaki turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan membuat pinjaman daripada Ah long kerana ia akan menimbulkan masalah dan kesukaran bukan sahaja pada diri malah kepada keluarga.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Zaki turut mendedahkan kelantan turut merekodkan peningkatan kes jenayah melibatkan warga asing tahun lalu.

Katanya, sebanyak 153 kes direkodkan berbanding 121 kes tahun sebelumnya dengan kesalahan tertinggi direkodkan adalah melibatkan warganegara Thailand dengan 43 kes tahun lalu berbanding 64 kes tahun 2022.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD