fb fb fb fb fb

Kelantan bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

Foto Hiasan/Foto RTM

KOTA BHARU, 10 Oktober-Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil langkah proaktif dalam menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.

Usaha tersebut akan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi memastikan persediaan yang lebih mantap dan tersusun.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dalam satu kenyataan berkata antara inisiatif utama yang diambil termasuklah penambahan aset kepada 19,619 berbanding 17,000 aset pada tahun lalu.

Aset tersebut merangkumi pelbagai kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, genset, dan peralatan-peralatan lain yang kini berada dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 459 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti bagi menampung lebih 186,440 penduduk terjejas, berbanding 214 PPS yang dibuka pada musim tengkujuh tahun lalu.

Pertambahan itu bertujuan untuk memastikan pengurusan banjir lebih efisien dan menjamin keselesaan penduduk terjejas.

Menurut beliau, kerajaan Kelantan turut mengambil langkah memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi.

Ini termasuk penyediaan sebuah depot simpanan keperluan bencana, 17 stor bencana, dan lebih 160 pengkalan hadapan di seluruh negeri yang akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bekalan ini akan memastikan bantuan makanan dan barangan keperluan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada penduduk terjejas.

Seramai 7,209 petugas, terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta 10 agensi lain, telah bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Jumlah petugas ini telah ditambah bagi memastikan operasi penyelamatan dan bantuan banjir dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Dalam kenyataan medianya,Nassuruddin turut menggesa seluruh rakyat, terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir, agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak cuba menyeberangi jalan yang ditenggelami air dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca serta maklumat terkini daripada saluran rasmi.

“Kerjasama daripada seluruh rakyat adalah penting bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan bantuan disalurkan dengan cepat dan teratur,” ujarnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD