KOTA BHARU, 20 Jun-Kelantan yakin sasaran menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu menjelang Julai ini mampu dicapai.
Menurut Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kassim berkata, sehingga Jun, hanya 16 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berada dalam kategori berkenaan berbanding lebih 12,000 yang direkodkan hujung tahun lepas.
Jasri berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihaknya bagi memastikan sifar miskin tegar di Kelantan dapat direalisasikan.
"Pertama kita membuat pengemaskinian data-data Ketua Isi Rumah (KIR) yang mereka ini sebenarnya ada bantuan-bantuan yang mereka terima tapi kita tidak rekodkan dan kita dapat kerjasama daripada JKM, MAIK ataupun agensi-agensi lain yang memberi bantuan dan daripada situ kita dapati mereka ini telah sebenarnya mendapat pendapatan yang melebihi paras kemiskinan", katanya demikian pada sidang media di Program Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1445 Hijrah di Pejabat ICU JPM Negeri Kelantan, Tunjong di sini.
Pada program berkenaan seramai 70 Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar dan Miskin menerima sumbangan daging segar serta bakul makanan bagi meraikan golongan berkenaan dalam menyambut hari raya Aidiladha tahun ini.
Mengulas lanjut katanya, antara inisiatif lain yang dilaksanakan bagi mencapai sifar miskin tegar termasuklah pelaksanaan program peningkatan pendapatan selain padanan pekerjaan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Katanya, dengan penurunan jumlah itu, kini Kelantan tidak lagi berada di kedudukan paling tinggi Bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar berbanding negeri-negeri lain.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan Pusat dan negeri untuk menoktahkan miskin tegar di Kelantan.