Kekalkan keharmonian, elak provokasi – KPN

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail / FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Mac – Rakyat Malaysia diseru agar terus mengekalkan keharmonian dan mengelakkan sebarang provokasi berunsur perkauman dan keagamaan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keamanan hanya dapat dipelihara melalui saling menghormati dan toleransi dalam masyarakat berbilang kaum.
  • Empat individu akan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan provokasi agama dan kaum.
  • Orang ramai dinasihatkan menyalurkan pandangan secara berhemah, mematuhi undang-undang dan tidak menyebarkan hasutan di media sosial.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan keamanan dan ketenteraman negara hanya dapat dipelihara melalui sikap saling menghormati serta toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Dalam suasana negara majmuk seperti Malaysia, solidariti rakyat amatpenting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.” jelas beliau dalam satu sidang media hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung empat individu yang akan dihadapkan ke mahkamah esok atas pelbagai kesalahan berkaitan provokasi agama dan kaum.

Antara kesalahan tersebut, termasuk menghina institusi agama, merosakkan simbol suci, dan menghasut penganjuran bantahan jalanan.

Mengulas lanjut, PDRM menjelaskan siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan secara telus dan profesional mengikut peruntukan undang-undang.

“Polis hanya menjalankan siasatan berdasarkan laporan dan pelanggaran undang-undang. Keputusan untuk membuat pertuduhan di mahkamah adalah sepenuhnya bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC),” tegasnya.

Dalam masa sama, PDRM juga memberi jaminan akan terus komited memelihara ketenteraman awam dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menyalurkan pandangan secara berhemah, mematuhi undang-undang, serta tidak menyebarkan sebarang kenyataan berunsur hasutan di media sosial.