fb fb fb fb fb

Kekalkan ciri tradisional dalam pembinaan kereta kabel Bukit Bendera- PM

Datuk Seri Anwar pada Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani Pulau Pinang, pagi tadi

GEORGE TOWN, 29 Jun- "Jangan gersang budaya".

Itu antara yang perlu ditekankan dalam pembinaan kereta kabel yang akan dibina di Pulau Pinang nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia penting bagi mewujudkan kelainan dan keindahan seni bina selain mengekalkan ciri tradisional kawasan Bukit Bendera.

Menurutnya, walaupun pembinaan kereta kabel itu penting namun aktiviti mendaki lereng bukit juga perlu dikekalkan dan ditambahbaik.

Ini juga dilihatnya mampu menarik pelancong dalam dan luar negara ke negeri itu.

"Ada ruang dan galakan supaya anak-anak muda terus menjadikan satu budaya riadah untuk naik melalui jalan lereng bukit supaya ia sangat popular.

"Maknanya ia bukan sahaja destinasi pelancongan tetapi juga pusat riadah, senaman dan mendaki yang popular, jadi kedua-duanya perlu dilakukan,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani Pulau Pinang, pagi tadi.

Jelasnya, Bukit Bendera merupakan satu kawasan yang unik dan mempunyai sejarah bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi seluruh rantau ini.

Justeru, penambahbaikan dan aktiviti melestarikan kawasan itu tanpa mengetepikan aspek budaya bakal menarik lebih ramai pelancong asing.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE