
KAJANG, 31 Mac – Kegembiraan dan rasa syukur jelas terpancar pada wajah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang selepas menerima keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus membuktikan usaha gigih mereka sepanjang tempoh pembelajaran membuahkan hasil.
- Sekolah mencatat peningkatan gred purata dan peratus kelulusan untuk tahun keenam berturut-turut, hasil komitmen guru dan inisiatif sekolah.
- Pelajar cemerlang meraikan hasil usaha keras mereka, dengan ibu bapa dan guru meluahkan kebanggaan serta sokongan berterusan.
- Kisah Fernandez menginspirasikan, berjaya walau menghadapi kanser, berkat tekad sendiri dan sokongan guru serta rakan.
Pencapaian itu turut membanggakan pihak sekolah yang terus mencatat peningkatan dari segi prestasi keseluruhan.
Pengetua Sekolah berkenaan, Mohd Fareed Faheim Mohd Elyas Majeed berkata, sekolah tersebut merekodkan peningkatan dari segi gred purata sekolah serta peratus pencapaian buat tahun keenam berturut-turut.
“Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang mencatatkan peningkatan dari segi gred purata sekolah serta peratus kelulusan bagi tahun keenam berturut-turut.
“Pihak sekolah amat bersyukur atas komitmen yang ditunjukkan oleh para guru dan murid, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian pada tahun ini,” katanya.
Bagi pelajar yang memperoleh 9A, Tharani Mahendren, kejayaan itu amat bermakna selepas segala usaha keras dan pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil.
“Saya berasa sangat gembira kerana telah berusaha bersungguh-sungguh dan melalui pelbagai cabaran. Akhirnya, saya berjaya memperoleh keputusan yang membanggakan serta menggembirakan ibu bapa saya. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Ibunya, Sheila Kunasegaran turut meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan anaknya yang disifatkan sebagai hasil usaha sendiri selain sentiasa mendengar nasihat guru.
“Saya amat berbangga. Saya hanya membimbingnya dengan mengikuti kaedah pengajaran guru di sekolah, manakala kejayaannya adalah hasil usaha dan kerajinan dirinya sendiri,” katanya.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Pang Yi Heng yang memperoleh 7A, turut menyifatkan pencapaian itu sebagai melebihi jangkaannya.
“Saya sangat gembira dapat mencapai keputusan ini kerana ia melepasi jangkaan saya. Saya juga bersyukur kerana segala usaha yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Bagi Tengku Syahmie Izzriq Tengku Mohd Badeli Sam yang memperoleh 9A dalam aliran perakaunan, keputusan itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dijangka.
“Saya mengambil aliran perakaunan dan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan 9A. Saya berasa sangat gembira dan tidak menyangka dapat mencapai keputusan tersebut,” katanya.
Ayahnya, Tengku Mohd Badeli Sam berkata, bakat anaknya sudah dapat dilihat sejak awal walaupun tidak pernah menghadiri mana-mana kelas tuisyen.
“Bagi saya, bakatnya telah dapat dilihat sejak awal lagi dan dia tidak pernah menghadiri mana-mana kelas tuisyen, sebaliknya hanya belajar di rumah. Kejayaan itu sepenuhnya hasil usahanya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, kisah Fernandez Minggat anak Steven Jaya yang menghidap kanser Ewing Sarcoma turut menyentuh perasaan ramai apabila dia tetap cekal meneruskan pembelajaran meskipun kerap keluar masuk wad.
Fernandez berkata, dia sendiri tidak menyangka mampu memperoleh keputusan memberangsangkan memandangkan sebahagian besar pembelajarannya dilakukan secara kendiri di rumah, di wad dan menerusi tuisyen dalam talian.
“Saya tidak menyangka dengan keputusan yang diperoleh kerana sering dimasukkan ke wad. Sepanjang tempoh itu, saya banyak belajar sendiri di rumah.
Di sekolah pula, guru-guru banyak membantu dan rakan-rakan turut memberikan sokongan yang kuat. Saya juga tidak pernah berputus asa sehingga berjaya mencapai tahap ini,” katanya.
Bapanya, Steven Jaya anak Jampi berkata, sebagai seorang ayah, beliau amat bersyukur dengan pencapaian anaknya memandangkan Fernandez tidak dapat mengikuti persekolahan seperti biasa ketika di tingkatan empat disebabkan masalah kesihatan.
“Sebagai seorang ayah, saya berasa amat gembira dan bersyukur dengan pencapaiannya kerana kami mengetahui dia tidak bersekolah langsung ketika di Tingkatan Empat.
Dia hanya kembali ke sekolah pada tingkatan lima atas saranan pihak sekolah. Dalam tempoh itu, dia turut mengalami masalah kesihatan dan pernah dimasukkan ke wad. Namun, kami sentiasa memberi semangat agar dia teruskan pelajaran hingga berjaya ke tahap ini,” katanya.