fb fb fb fb fb

Kejayaan P. Pinang dalam semikonduktor, impak besar kepada ekonomi

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Kejayaan Pulau Pinang dalam sektor semikonduktor memberi impak besar kepada ekonomi negara dan menjadikan negeri tersebut sebagai tumpuan utama pelabur global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan kekuatan sektor tersebut di negeri itu, malah membuktikannya sebagai hab teknologi strategik untuk Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kejayaannya itu menarik perhatian dunia. Semasa Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru... dalam satu forum, depan hampir 2,000 pengusaha teknokrat dan ahli korporat dan saya diminta sampaikan ucaptama... ulasan yang diberikan oleh pengurus Microsoft dan Google tentang potensi Malaysia, stabil politiknya, jelas dasarnya, rancak dan inovatif industrinya.

"Itu disebut tidak oleh kita Malaysia, tetapi disebut oleh syarikat-syarikat gergasi dunia. Bab itu kita terima. Kita pacu pertumbuhan yang baik", katanya.

Beliau berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI di ibu negara.

Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI merupakan sebuah skim perumahan inovatif yang dibangunkan melalui kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), PDC Properties (anak syarikat PDC) dan SkyWorld Development Berhad.

Projek ini bertujuan untuk menyediakan lebih daripada 35,000 unit rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40, yang akan dibangunkan di dua lokasi strategik di Pulau Pinang.

ROSLINA BINTI DIN