
BESTARI JAYA, 22 Februari – Kejayaan ekonomi negeri perlu seimbang dengan penyediaan modal insan berkualiti bagi menjamin kelangsungan pembangunan Selangor pada masa hadapan.
- Pembangunan ekonomi Selangor mesti diimbangi dengan penyediaan modal insan berkualiti melalui pendidikan.
- Perancangan pembangunan teratur digabungkan dengan sistem pendidikan untuk melahirkan sumber manusia berkemahiran dan berintegriti.
- IPT milik negeri seperti UNISEL berperanan strategik membentuk modal insan berdaya saing bagi masa depan negeri.
- Kerajaan negeri menyediakan subsidi yuran dan pelan lima tahun untuk memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembangunan negeri tidak boleh hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan hasil semata-mata.
Ia sebaliknya perlu disokong oleh perancangan pembangunan yang teratur serta sistem pendidikan yang mampu melahirkan sumber manusia berkemahiran, berpengetahuan dan berintegriti.
“Kejayaan ekonomi Selangor yang mencatatkan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi negara perlu diseimbangkan dengan perancangan pembangunan yang teratur serta penyediaan sumber manusia berkualiti melalui pendidikan.
“Institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL) memainkan peranan strategik dalam membentuk modal insan berdaya saing dan berintegriti.
“Pendidikan adalah aset dan kunci penting negeri. Melalui pendidikan, kita membentuk manusia, melatih sumber daya dan menyediakan modal insan yang akan meneruskan hala tuju Selangor,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Iftar Perdana Warga UNISEL, di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UNISEL, Prof Emeritus Ir Datuk Dr Hassan Basri.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin memaklumkan Selangor mempunyai kelebihan tersendiri apabila memiliki institusi pendidikan tertiari milik kerajaan negeri, sekali gus meletakkan pendidikan sebagai teras pembangunan jangka panjang.
Tambahnya, kerajaan negeri turut merangka pelan pembangunan lima tahun Selangor yang menggabungkan perancangan pembangunan daerah dengan pembangunan sektor pendidikan secara menyeluruh.
Terdahulu, Amirudin turut menyampaikan cek cura simbolik bernilai RM3 juta kepada penerima Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU).
Menerusi inisiatif tersebut, sejumlah RM17.38 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan di bawah institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2026.
Ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan tinggi apabila 50 peratus yuran pengajian ditawarkan secara percuma kepada anak-anak Selangor di UNISEL.