fb fb fb fb fb

Kejadian pecah cermin kereta Safiq Rahim, tiada kaitan dengan insiden pemain kebangsaan

Komisioner M. Kumar

JOHOR BAHRU, 8 Mei- Polis Johor percaya, kejadian menimpa bekas kapten Harimau Malaya dan Johor Darul Takzim (JDT) Safiq Rahim tidak ada kaitan dengan insiden ke atas dua pemain kebangsaan, Akhyar Rasyid dan Faisal Halim kata Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar.

Beliau bagaimanapun berharap orang ramai tidak memberi spekulasi mengenai tiga kejadian terbabit. Ketika ini pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh.

"Jangan memberi spekulasi dengan serangan-serangan yang lain. Kita akan siasat kes ini sahaja. Kemudian kita akan lihat perkembangan kes. Kita akan bekerjasama, jangka ada kena mengena dengan negeri lain. Itu adalah spekulasi.

"Setiap kali ada perlawanan bola sepak, untuk pasukan JDT dan pasukan lawan, kita akan pastikan mereka diiringi ke destinasi perlawanan dan balik ke hotel," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu Safiq, 36 baru selesai latihan bersama-sama JDT kemudian didatangi dua individu tidak dikenali yang membawa tukul dan bertindak memecahkan cermin belakang keretanya.

Safiq bagaimanapun tidak cedera dalam kejadian itu.

M. Kumar turut memberi jaminan aspek keselamatan menjelang aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini khususnya para pemain.

Polis Johor sebelum ini memaklumkan seramai 1,500 anggota akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan sepanjang aksi perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI