
KUALA LUMPUR, 19 Mac– Penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha damai melibatkan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Hindu membuktikan komitmen jitu semua pihak dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
- Perselisihan hampir mencapai tahap ekstrem berjaya diselesaikan secara harmoni menerusi rundingan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
- Polis Diraja Malaysia bertindak pantas mengekang perselisihan, tindakan mereka patut dihargai.
- Kejayaan meredakan ketegangan membuktikan konflik boleh diatasi jika pihak bersedia duduk semeja.
- Sikap keterbukaan, saling memahami dan toleransi membolehkan rakyat menikmati suasana perayaan aman dan damai.
Perselisihan faham antara kedua-dua pihak yang sebelum ini dilaporkan hampir mencapai tahap ekstrem, akhirnya berjaya diselesaikan secara harmoni menerusi rundingan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pakar Geostrategi, Profesor Dr. Azmi Hassan menyeru rakyat agar senada dengan Perdana Menteri dalam menzahirkan penghargaan, bukan sahaja kepada NGO terlibat, malah terhadap ketangkasan pasukan keselamatan.
“Kita harus bersama-sama menyokong pendirian Perdana Menteri untuk mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua NGO ini, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas mengekang perselisihan tersebut daripada merebak,” jelas beliau.
Kejayaan meredakan ketegangan itu menjadi manifestasi penting bahawa sebarang kemelut mampu diatasi sekiranya pihak yang bertelagah bersedia untuk duduk semeja.
Tanpa langkah pertemuan dan perbincangan oleh NGO berkenaan, usaha meleraikan konflik tersebut pastinya sukar direalisasikan.
Sikap keterbukaan, saling memahami dan toleransi tinggi yang ditunjukkan semua pihak kini membolehkan rakyat Malaysia terus menikmati suasana perayaan dalam keadaan negara yang aman dan damai.