fb fb fb fb fb

Melaka di landasan tepat anjur WTD 2025

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA, 5 Oktober - Melaka berada pada landasan terbaik dalam meletakkannnya selaku tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 atau World Tourism Day (WTD 2025).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia dapat dibuktikan melalui kehadiran lebih 10 juta pelancong setakat hujung September lalu.

Katanya, acara besar berkenaan akan melibatkan 155 delegasi dunia yang diketuai menteri pelancongan dan warisan masing-masing.

"Kita cuba perbanyakkan lagi kedatangan pelancong luar negara dengan Melaka telah menerima watikah sebagai negeri yang diberikan oleh kerajaan persekutuan untuk menjadi tuan rumah World Tourism Day Forum pada tahun hadapan.

"Jadi World Tourism Day Forum ini akan membawa 155 buah delegasi dunia ke Melaka yang akan diketuai oleh menteri-menteri pelancongan dan warisan masing masing. Saya mengharapkan pada minggu tersebut Melaka akan menjadi sebuah negeri tumpuan dunia yang mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menilai negeri Melaka ini mempunyai nilai sejarah bawah UNESCO supaya ia dapat kita lagi menggamit pelancong datang ke Malaysia melalui Melaka pada tahun hadapan," kata Ab Rauf.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan pertandingan mencari harta karun 'Melaka Explorace 2024' anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka.

Dalam program berkenaan seramai 300 peserta dengan 75 kenderaan terlibat dalam pertandingan tersebut.

Beliau berkata program sebegini adalah salah satu medium atau kaedah mempromosikan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Ia juga merapatkan silaturahim antara pengamal media dan pada masa sama memberi peluang peserta meneroka sejarah dan khazanah unik yang terdapat di Melaka.

TETITIA YUSOFF