fb fb fb fb fb

Kehadiran kapal tentera laut asing, Wisma Putra ambil maklum

Kementerian Luar mengambil maklum laporan mengenai kehadiran kapal tentera laut asing berhampiran sebuah pelantar minyak luar pesisir negara / Foto RTM

PUTRAJAYA, 9 September - Kementerian Luar mengambil maklum laporan mengenai kehadiran kapal tentera laut asing berhampiran sebuah pelantar minyak luar pesisir negara.

Menurut Wisma Putra, walaupun pihaknya maklum dengan laporan berkenaan, ia tidak dapat mengulas kesahihan dan butiran terperinci pergerakan kapal tentera laut asing berkenaan kerana perkara tersebut berada di bawah pihak berkuasa pertahanan dan operasi keselamatan.

"Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten dalam mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kawasan maritim negara seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979.

"Kedudukan ini selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982," menurut Wisma Putra menerusi kenyataan.

Sejajar dengan komitmen untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai rantau keamanan, kestabilan dan perdagangan, Wisma Putra berkata Malaysia akan terus berhubung secara diplomatik dengan semua negara berkaitan.

"Kami kekal komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui cara aman dan mematuhi prinsip yang digariskan dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC), yang menekankan kepentingan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan," kata Wisma Putra.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN