fb fb fb fb fb

Kehadiran kapal asing tidak boleh dianggap menceroboh

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 16 April- Kehadiran kapal-kapal asing di Laut China Selatan tidak boleh dianggap sewenang-wenangnya sebagai menceroboh memandangkan perairan tersebut adalah laluan bebas kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan rondaan dan operasi pemantauan dilaksana sepanjang masa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Ia meliputi di kawasan maritim Malaysia bagi mengesan sebarang kehadiran bot atau kapal asing yang mencurigakan di perairan negara.

"Jika kapal itu, kapal negara asing itu 'anchor', itu boleh dianggap sebagai pencerobohan. Dan apabila itu berlaku, kita punya tatacara adalah dengan memaklumkan kepada Wisma Putra untuk tindakan selanjutnya.

"Tetapi TLDM melaksanakan enam operasi laut di kawasan maritim Malaysia di sebelah Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu. Ada enam operasi, 24 jam, tujuh hari seminggu untuk mengesan kalau ada apa-apa bot luar biasa ataupun kapal-kapal perang daripada negara-negara lain," katanya dalam sidang media, sejurus selepas melawat Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi di ibu negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular baru-baru ini, yang memaparkan kehadiran sebuah kapal Pengawal Pantai China berhampiran Terumbu Sahap, Sarawak di South Luconia Shoals, menghampiri bot nelayan Malaysia dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI