Kehadiran gas metana di tapak Pesta Kaul Oya, pemantauan diperketat

FOTO BBP Mukah

MUKAH, 22 Januari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak mengesahkan kehadiran gas mudah terbakar jenis metana di tapak Pesta Kaul, Oya hasil pemantauan yang dijalankan Pasukan Hazmat Zon Bintulu, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan Hazmat mengesahkan kehadiran gas metana berisiko tinggi di Tapak Pesta Kaul Oya.
  • Operasi bersama agensi dilaksanakan sepanjang hari untuk memantau dan kawal keselamatan.
  • Orang ramai dinasihat berjaga-jaga, elak percikan api dan patuhi arahan pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin berkata, tiga bacaan gas diambil menggunakan peralatan khas 4 Gas Meter (GFG) pada masa berbeza, dengan keputusan menunjukkan bacaan Lower Explosive Limit (LEL) antara 90 hingga 100 peratus, sekali gus mengesahkan tahap risiko tinggi.

“Meskipun tiada kebakaran dikesan dan keadaan permukaan tanah dilaporkan kering, kehadiran gas metana berkenaan berpotensi mendatangkan bahaya kepada orang awam memandangkan kawasan itu merupakan laluan utama penduduk ke Tapak Pesta Kaul serta kawasan rekreasi,” katanya.

Operasi pemantauan dijalankan bermula pukul 10.30 pagi hingga 5 petang melibatkan anggota Pasukan Hazmat Bintulu dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Mukah serta beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah Kecil Oya dan Majlis Bandar Mukah Dalat.

Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada, mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan percikan api serta mematuhi semua arahan keselamatan yang akan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Pemantauan lanjut akan terus dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan