PUTRAJAYA,4 Mac - Pentadbiran sekolah perlu menyesuaikan kegiatan minggu pertama pelajar khususnya pada bulan Ramadan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pihaknya sentiasa peka dan mengambil maklum keadaan cuaca panas termasuk di beberapa kawasan yang diramal pada tahap berjaga-jaga.
"Nasihat kita sama sahaja seperti mana yang telah kita putuskan dan laksana sebelum ini ketika cuaca panas.
Kita ada garis panduan dan sentiasa membuat pemakluman dari semasa ke semasa."
"Setakat ini, KPM masih kekal dengan garis panduan pakaian sedia ada ketika sesi persekolahan akan datang.
"Arahan berkenaan masih kekal seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada Januari lalu iaitu dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,"
Bagaimanapun, arahan pemakaian pakaian sukan akan dikeluarkan mengikut keadaan semasa.
Azman turut menjelaskan kantin sekolah tidak boleh tutup pada Ramadan untuk memenuhi keperluan pelajar bukan Islam yang tidak berpuasa.
Tambahnya, semua pihak perlu mengambil maklum keadaan cuaca ketika ini dan bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang perubahan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025.